42 6 44KB
TUGASAN 3: PENULISAN REFLEKSI (PBS) REFLEKSI PENGAPLIKASIAN STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK SERTA BAHAN BANTU MENGAJAR Tanggal 12 sehingga 16 Oktober 2020, saya telah menjalani satu tugasan di sekolah iaitu Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Air Merah, Kulim Kedah. Namun demikian, sekolah ini bermula pada hari Ahad iaitu 11 Oktober 2020 dan interaksi saya dengan pihak sekolah bermula mengikut hari persekolahan seperti yang telah ditetapkan. Setelah seminggu melaksanakan PBS, banyak maklumat secara langsung atau tidak langsung saya perolehi berdasarkan pengalaman bersama-sama pihak sekolah. Pelaksanaan PBS pada kali ini saya lebih berfokuskan kepada ospyen major saya iaitu Pendidikan Muzik di sekolah rendah. Saya mendapat kerjasama daripada seorang guru muzik iaitu Encik Murukappan dalam membantu saya mendapatkan maklumat dan bahan-bahan bagi menyiapkan tugasan ini. Berdasarkan pemerhatian saya dalam pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) Pendidikan Muzik di sekolah tersebut, saya mendapati guru Pendidikan Muzik turut mengaplikasikan strategi PdP, kaedah, teknik dan penggunaan BBM dalam melaksanakan proses pembelajaran. Tambahan pula, proses PdP dilaksanakan di bilik muzik yang mempunyai keadaan persekitaran yang kondusif. Hal ini menjadikan aktiviti PdP lebih berkesan serta berjalan dengan lancar. Rancangan Pengajaran Harian (RPH) merupakan panduan untuk guru menjalankan aktiviti PdP di dalam bilik darjah. Semasa pemerhatian dijalankan, Encik Murukappan mengajar tahun 4 ADIP dalam standard kandungan Modul Kemahiran Seni Muzik iaitu memainkan rekorder mengikut tempo dengan ton yang baik serta penjarian not G, A, B, C’, dan D’ dengan betul dan mengaplikasikan notasi muzik dalam memainkan rekorder. Bagi membentuk satu pembelajaran yang kondusif dan dapat mencapai objektif hasil akhir pembelajaran, Encik Murukappan mengaplikasikan strategi pemusatan murid. Strategi ini digunakan agar murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti PdP. Strategi ini juga dapat menerapkan nilai murni bekerjasama dalam kalangan murid-murid. Contohnya, murid-murid saling bekerjasama untuk membantu rakan yang belum menguasai kemahiran penjarian menutup lubang rekorder mengikut not yang diberikan. Encik Murukappan
menyatakan bahawa strategi pemusatan murid dapat meningkatkan prestasi murid dalam melakukan tugasan yang diberikan, serta boleh menunaikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) untuk melahirkan murid yang mempunyai aspirasi yang tinggi. Menurut Mok Soon Sang (2013), kaedah merupakan satu pengajaran yang dirancang serta diedar dengan sistematik kepada murid-murid untuk bertujuan mencapai objektif pembelajaran. Gaya pembelajaran dan latar belakang murid amat penting untuk diketahui oleh para guru di sekolah agar memudahkan mereka menyediakan sesi pembelajaran yang bersesuaian dengan murid. Dengan ini, pengurusan bilik darjah dapat dikawal semasa aktiviti PdP dilaksanakan. Bagi menarik perhatian serta murid-murid terus fokus di dalam kelas, Encik Murukappan menggunakan kaedah dan teknik demontrasi atau lebih dikenali dengan kemahiran tunjuk cara. Beliau menunjukkan cara asas penjarian untuk memegang dan menutup lubang-lubang pada bahagian rekorder. Encik Murukappan melibatkan pancaindera telinga dan mata serta menggalakkan murid untuk melakukan teknik-teknik memainkan rekoder. Berdasarkan not-not yang dipelajari, secara tidak langsung murid-murid telah mempelajari melodi sebuah lagu iaitu ‘Mary Had A Little Lamb”. Bagi penggunaan BBM, Encik Murukappan hanya menggunakan rekoder untuk mengajar dan menggunakan papan tulis. Hal ini, menyebabkan murid di dalam kelas mudah hilang fokus semasa proses PdP dijalankan. Malahan, pengurusan tingkah laku sesetengah murid sukar dikawal. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang telah dikenalpasti, terdapat beberapa cadangan yang saya ingin kemukakan bagi mengatasi kelemahan dalam melaksanakan aktiviti PdP Pendidikan Muzik di sekolah. Antaranya, guru perlu mencari alternatif dalam membuat set induksi supaya meransang minat murid untuk belajar. Selain itu, memperbanyakkan BBM terutama menggunakan TMK supaya murid dapat menguasai kemahiran TMK selaras dengan PAK-21. Di samping itu, guru mempelbagaikan teknik dan kaedah dalam melaksanakan PdP agar pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid dapat dikawal. Guru juga perlulah membahagikan masa dengan baik untuk melaksanakan aktiviti PdP yang
menyeronokkan. Secara keseluruhannya, kelemahannya dalam melaksanakan aktiviti PdP dapat penambahbaikan lagi. KESIMPULANNYA Melalui PBS, saya memperolehi banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang boleh saya guna untuk masa depan. Melalui pemerhatian juga, seorang guru bukan hanya mengajar murid tapi mereka juga mendidik murid agar sentiasa berusaha untuk mendapatkan masa depan yang cerah dan sebagai seorang bakal guru, saya perlu memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar dapat menjalankan tugasan dengan lebih efisien.